Wednesday, August 18, 2010

DI SINI DINAR DAN DIRHAM, DI SANA DENGKI DAN DENDAM

BY : TUAN GURU NIK AZIZ NIK MAT

Kadang-kadang tingkah laku pemimpin Umno ini sangat mudah untuk dijangka. Apa saja yang baik datang dari Kelantan, itulah yang akan dibangkang habis-habisan oleh Umno. Sebut saja apa jua perkara yang datang dari Kelantan, berduyun-duyunlah pemimpin Umno ‘menunjuk cerdik’ memberi komen. Kalaupun nampak janggal, tiadalah mereka peduli asalkan nampak hebat di mata pandangan gerombolan mereka.
Seingat saya, sepanjang dua dekad usia kerajaan PAS di Kelantan bermula tahun 1990 ini, itulah yang sentiasa kami hadapi. Cuti dua hari seminggu digelar sebagai ‘budaya pemalas’, akhirnya orang yang sama menelan kembali ludahnya. Cuti 60 hari kakitangan wanita yang bersalin turut dipandang sinis, kemudiannya tanpa segan silu ditiru. Jangan lupa pemerkasaan perbankan Islam turut bermula dengan langkah kerajaan Kelantan memindahkan wang kerajaan dari bank riba ke perbankan Islam. Itu belum termasuk program-program kebajikan seperti Skim Takaful Kifalah, Skim Armalah, Ladang Rakyat dan panjang lagi senarainya.
Terbaru apabila kerajaan Kelantan melancarkan mata wang syariah Emas Dinar dan Perak Dirham (D&D) 12 Ogos lepas, maka bersatulah pemimpin Umno untuk menghentam langkah ini. Ramadan yang sepatutnya menjadi bulan damai dan pesta ibadat menjadi pesta menghentam kerajaan Kelantan.
Saya ingin nyatakan, apakah salahnya Kelantan ingin memulakan jihad ekonomi ini? Jika Umno BN enggan memulakan, jangan pula menidakkan usaha pihak lain. Saya ulangi penegasan yang dibuat sebelum ini oleh ahli Exco saya, Datuk Haji Husam Musa bahawa apa yang dilancarkan oleh Kelantan bukanlah matawang, ia hanyalah pengenalan kepada sistem barter trade.
Tukar suka sama suka dengan kerelaan tidak pernah dihalang di negara demokrasi ini. Setiap orang berkuasa ke atas barangannya dan berhak membuat keputusan. Apa yang salah ialah membuat keputusan ke atas barangan yang kita tidak berhak. Contohnya, memberi percuma dua blok minyak minyak milik rakyat yang berharga ratusan billion ringgit kepada kuasa asing. Atau merompak hak milik rakyat Kelantan ke atas telaga minyak dengan menafikan royalti!
Seperti yang saya nyatakan di dalam ucapan perasmian pelancaran 12 Ogos lepas, sistem wang kertas diperkenalkan oleh penjajah untuk menguasai ekonomi umat Islam. Hasilnya, seluruh manusia di dunia diperkotak-katikkan oleh kuasa-kuasa besar untuk mempercayai nilai yang ada pada sekeping kertas.
Kertas tersebut hakikatnya langsung tidak mempunyai sandaran yang didakwa. Jika kita menaiki bas atau keretapi contohnya, kita membayar dan diberikan resit. Resit tersebut ialah tanda kita telah membayar kepada perkhidmatan yang diberikan, ertinya resit tersebut tidak mempunyai nilai apa-apa kecuali setelah bayaran diberikan. Hari ini, bank mengeluarkan wang kertas tanpa sebarang sandaran nilai. Kononnya ia disandarkan pada nilaian emas, hakikatnya ia disandarkan kepada keadaan ekonomi semasa sesebuah negara. Ini sebenarnya lebih teruk dari resit bas dan keretapi tadi.
Realitinya matawang tidak berharga melainkan jika Kerajaan memberi nilai kepadanya. Wang kertas RM1 bukan bernilai RM1 daripada segi harga kertasnya. Ia bernilai RM1 kerana itulah nilai yang ditetapkan oleh Kerajaan. Jika Kerajaan mencetak angka lima atau sepuluh maka nilai kertasnya tidak naik kepada RM5 atau RM10. Hanya pengakuan dan jaminan Kerajaan yang menjadikannya bernilai sebanyak mana yang ditentukan. Itulah hakikatnya wang kertas.
Tertarik saya apabila seorang Timbalan Menteri yang baru-baru ini heboh telah meluluskan lesen judi tiba-tiba mengeluarkan kenyataan bahawa Dinar Emas dan Perak Dirham ini boleh menyebabkan kerugian. Terlintas di benak saya, jika begini taraf pemikiran seorang timbalan menteri, apa pula jenis pemikiran yang ingin diasuh kepada rakyat.
Emas merupakan komoditi yang paling stabil harganya. Ia akan terus meningkat jika dibandingkan dengan wang ringgit. Bukankah Tun Dr Mahathir sendiri pernah melancarkan gold coin yang dinamakan Kijang Emas keluaran Bank Negara Malaysia satu ketika dahulu? Mari kita semak harganya. Pada 18 Julai 2001, sekeping syiling Kijang Emas seberat 1 auns harganya ialah RM1,082. Hari ini pada tarikh 1 Julai 2010, ia sudah boleh dijual dengan harga RM4,104. Ertinya jika seseorang melabur sebanyak RM108,200 dengan membeli seratus keping Kijang Emas pada tahun 2001, kini ia boleh dijual dengan harga RM410,400. Keuntungan 400% dalam masa 9 tahun! Butiran ini boleh dilayari di (http://www.bnm.gov.my/). Ini bukti harga emas tidak akan turun sehingga merugikan. Paling tidak pun, lebih baik daripada sebuah syarikat penerbangan yang rugi RM535 juta pada suku kedua tahun ini!
Di dalam al-Quran sendiri menceritakan kisah Ashabul Kahfi yang tertidur selama 309 tahun di dalam sebuah gua. Apabila bangkit mereka menggunakan duit perak yang ada di tangan mereka untuk membeli makanan. Ertinya, selepas 309 tahun, duit itu masih elok dan mempunyai nilai seperti sedia kala.
Justeru, saya nasihatkan kepada pihak-pihak tertentu, janganlah terburu-buru menidakkan usaha-usaha kerajan Kelantan. Tidak cukup tenaga di Malaysia, diambil pula tulisan kolumnis yang beraliran orientalis untuk menghentam kami. Sehingga langkah kami mengasingkan kaunter bayaran di pasar raya disifatkan sebagai ’aparteid agama’. Bagaimana pula langkah Keretapi Tanah Melayu menyediakan gerabak khas bagi wanita? Itu aparteid apa namanya?
Saya ingin bertanya, apa kurangnya kami di Kelantan dengan anda yang berada di Pusat. Jika anda mempunyai pakar ekonomi, kami pun mempunyai pakar ekonomi. Takdirnya bertukar teraju di Putrajaya nanti, kami juga mampu mentadbir bahkan lebih baik dari anda, Insya-Allah. Janganlah dibiarkan hasad dengki menguasai menyebabkan ternafinya segala kebaikan yang kami lakukan. Jangan pula kami di sini melancarkan Dinar dan Dirham (D&D), anda di sana melancarkan dengki dan dendam!
Akhir kata, jika datanglah bertadarus dengan kami di Kelantan di bulan Ramadan ini. Salah satu ayat yang menjadi menjadi bacaan kami sekarang ialah ayat 63 dari Surah al-Furqan yang bermaksud: ”Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandung) keselamatan.”

DENGKI : PUNCA DINAR KELANTAN DITENTANG

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata tindakan mempolemikkan penggunaan dinnar emas dan dirham perak di Kelantan adalah disebabkan sifat hasad dengki dan pihak tertentu.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau tidak melihat penentangan penggunaan dinar dan dirham tersebut mempunyai asas yang kuat selain dendam politik Umno terhadap kerajaan PAS negeri itu.

“Tetapi kerana hasad dengki menyebabkan mereka menentang walaupun yakin perlaksanaan itu betul.

“Mereka pertikai atas dasar politik semata-mata walaupun dengan hujah yang kabur,” ujarnya yang juga Mursyidul Am PAS.

Jelasnya, sepatutnya perkara itu tidak menjadi isu apatah lagi kepada orang Islam kerana dinnar emas dan dirham perak sudah diguna sejak zaman Rasulullah S.A.W lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di JKR 10, di sini semalam.

Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan pusat sepatutnya menyokong usaha yang dilakukan oleh kerajaan Kelantan yang berhasrat untuk mengembalikan semula kegemilangan Islam.

Namun menurutnya, mungkin kerana sikap anti Islam dan hasad dengki yang mendalam, mereka terpaksa melawan dan menentang pembaharuan yang dilakukan oleh kerajaan Kelantan.

“Mereka terus melatah kerana berasa sengal dengan usaha kerajaan Kelantan berusaha melaksanakan syariat Islam termasuk sistem kewangan,” ujarnya.

Usaha Kelantan mengeluarkan dinnar emas dan dirham perak jelasnya adalah bagi menjaga sistem kewangan agar tidak berterusan dimonopoli barat.

Negara Islam katanya perlu membuktikan kepada barat bahawa Islam mempunyai mata wangnya sendiri.

Dalam pada itu, kerajaan negeri juga akan mengeluarkan sebuah buku mengumpulkan pandangan-pandangan alim ulama berhubung penggunaan dinnar emas dan dirham perak.

Buku yang bakal disusun oleh kerajaan negeri itu juga akan mengumpulkan hasil tulisan dari kitab-kitab jawi dan Arab yang telah mendedahkan masaalah kewangan dalam Islam.

Masyarakat Kelantan antara yang gemar membeli dinnar dan dirham untuk simpanan terutama golongan wanita.

Dalam usaha menggalakkan penggunaannya, Tuan Guru memberitahu akan membayar zakat fitrahnya tahun ini dan masa akan datang menggunakan dinnar.